Salam Ramadhan Kareem.

Ku mengharapkan Ramadhan kali ini lebih bermakna.

Nota Hati Seorang Lelaki

Dengarlah kata hati seorang lelaki yang ingin berbicara tentang dunianya.

Puasa bukan sekadar menahan Lapar dan Dahaga.

Adakah kita berpuasa dengan sebenar-benar PUASA.

Kompas utama HIDUP.

Alangkah sombongnya manusia yang ingin mencari perlembagaan HIDUP yang lebih baik darinya.

Dunia ini hanya persinggahan sementara.

Berbahagialah mereka yang terus bergerak berbanding mereka yang sibuk mengumpul harta yang bakal ditinggalkan.

Perkahwinan bukan satu KESERONOKAN

Perkahwinan bukan sekadar hidup bersama, tetapi hidup untuk saling MEMBERI.

Anak-anak adalah pelaburan.

Sayang bukan bererti menuruti, marah bukan bererti membenci.

Seindah Hiasan

Cantik mawar bukan kerana seri, tapi indah mawar kerana duri.

Ucapkanlah yang BENAR.

Sebarkanlah kebenaran sesama kamu.

Wednesday, November 16, 2011

Anakku soleh solehah

Anak soleh solehah itu adalah tuaian yang tersangat istimewa. Betapa ramai yang sudah mencuba dan betapa ramai juga yang teraba-raba mencari sekelumit harap agar impian menjadi kenyataan. Tiada jalan mudah atau singkat untuk membimbing seorang anak menjadi seorang manusia yang mengenal erti dan memahami kehidupan rabbani.

Harus sekali anak-anak dan cucu sekalian sedar dan bawa ingat, bahawa membentuk anak soleh solehah bukan sahaja di sekolah mahupun di rumah, tetapi seawal mereka dibesarkan di rahim ibunya. Mahu atau tidak, kita harus akur setiap jawapan yang kita cari perlu diikuti dan dipatuhi formulanya. Jawapan mudah, kembali kepada manual asal wujud kita manusia. Al quran.
Membentuk soleh solehah dengan Al quran adalah impian besar hampir setiap pasangan yang membina baitul izzah. Semuanya bermimpikan keluarga soleh solehah yang serba indah. Itulah mimpi semalam yang membawa Tok sedar dari lena yang panjang.

Untuk mengharapkan sesuatu tuaian baik, benih yang disemai haruslah diperbaiki. Ibubapa adalah asas pertama yang harus diberi perhatian, mana mungkin batang yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus melainkan dengan izin Allah. Dan Allah jualah yang meletakkan syarat bahawa setiap hasil dikadarkan pada ikhtiar dan usaha yang kita lakukan.

Sebelum berfikir bagaimana untuk mendidik anak yang soleh solehah, berfikirlah terlebih dahulu bagaimana untuk mendidik diri dan pasangan bagaimana untuk menjadi hamba yang soleh solehah. Setiap orang adalah anak kepada seseorang, maka tunaikanlah setiap kewajipan dan hak kita sebagaimana kita menginginkan dilayani oleh seorang anak.

Anak dan cucuku sekalian, pesanan ini bukan untuk anak-anakmu. Bahkan ia ditujukan khas buatmu, bahawa anak soleh solehah yang diimpikan. Itulah kamu. Impian ibu dan ayahmu.





Monday, September 26, 2011

Nikah: Aku Terima Dosanya.

Pagi tadi sewaktu Tok Wan sedang minum kopi di gerai tepi pejabat sambil membaca perkembangan dunia semasa di paparan akhbar, Tok Wan tertarik dengan satu perkahwinan yang cukup gilang gemilang dan meriah. Penuh dengan warna warni bagi menyambut hari bermakna mereka, pengantin lelaki kelihatan begitu segak dan penuh gaya mencium dahi si wanita yang baru sahaja menjadi isterinya.

Tanpa sedar, si suami tersebut baru sahaja menerima satu amanah dan ujian besar dalam hidupnya. Penerimaan yang disudukan dengan suapan keindahan dan nikmat dunia, sambutan gilang gemilang. Mungkin masih ramai lelaki, anak cucu Tok Wan sekalian masih belum sedar akan hakikat kehikat sebenar perkahwinan.

Jika anak cucu Tok Wan sekalian ingin lihat tanda seorang suami soleh, yang baru memulakan pelayaran kehidupannya. Jangan pandang waktu si suami bersolat bersama isteri barunya, kerana sebahagiannya sudah menjadi seolah tuntutan adat. Gerak laku yang kadang tidak sampai pun di hati. Telitilah sewaktu si pengatin lelaki menjawab ijab dan Kabul, sewaktu dia melafazkan bahawa “Aku Terima Nikahnya”.

Sewaktu si suami menjawab bahawa aku terima nikahnya, dia menjawab dengan ketakutan hati dan deraian airmata. Dia melihat sebelah kakinya di ambang neraka dan sebelahnya di muka syurga. Dia sedar bahawa si isteri yang diamanahkan padanya bukan untuk bersuka semata, ucapan lafaz adalah satu bai`ah kehidupan untuknya.

Bai`ah untuk menyatakan bahawa segala dosa si wanita yang baru dinikahinya itu dan zuriat keturunan yang terhasil adalah di bawah tanggungnnya. Lalu bagaimana seorang suami masih mampu tersenyum di saat dia sedar bahawa dia sedang memikul amanah besar untuk ditunaikan di sebuah perjalanan kehidupan yang baru sahaja dimulakan.

Mengapa masih ramai si suami yang belum mengerti? Betapa sukar untuk mencari si suami soleh yang mengerti akan hakikat sebenar kehidupan. Yang ada cuma manusia pelupa, yang sedang galak sewaktu dipersandingkan. Buat anak cucu sekalian, jika kalian bakal dijodohkan. Tangisilah dan insafilah bahawa si dia bukan dianugerahkan semata untuk membawa suka. Hadirnya membawa makna, ujian sebenar dunia dari Sang Pencipta.

Tuesday, August 30, 2011

Salam Aidilfitri


Belum terlambat untuk Tok Wan ucapkan Salam Aidilfitri buat semua anak cucu Tok Wan yang dirahmati Tuhan, yang mengangkat Islam dan menjunjung iman dalam harian diari insan. Sepuluh jari kudus ini kususun rapi, melafaz suci kalimah erti.. Dari istighfar renjisan imani, bersama susun bait lafaz ‘ Mohon maaf dari telapak jari sehingga ke pelupuk nurani’.

Sebulan Tok Wan berhenti dari menulis, seketika berehat dari kesibukan dunia untuk menghadamkan kelazatan Ramadhan dari teguk-teguk segar Terawih  dan buah-buah ranum Qiyam yang sangat mengasyikkan. Seketika merapatkan dahi ke ruang sujud, ternyata membuat Tok Wan semakin bersemangat untuk terus memberikan meskipun barang sebaris dua ayat buat panduan dan pedoman anak cucu Tok Wan sekalian.

Ramadhan yang sudah pun menarik labuh tirainya, membuka seluas petala alam segala ombak dan badai godaan dunia. Harus sesekali merenung laluan di hadapan, elok sesaat kita insan meneliti langkah-langkah songsang semalam buat teladan kembara hidup di hadapan.

Buat anak-anak dan cucu kesayangan, ayuh tadahkan tangan. Sekalipun tidak tahu apa yang harus didoakan, maka ucaplah rasa syukur pada Tuhan yang masih panjangkan usia untuk terus kita insan hidup berjuang. Syukur pada saat ini masih kita terasa kedamaian alam, dari warna dan rona dunia sehingga ke lubuk hitam jiwa insan. 

Saat ini, cuba anak cucu pejamkan mata.Lupakan sesaat kesibukan yang menyesakkan, rautkanlah mukamu dengan penuh kelembutan. Rasai kesempurnaan ciptaan Tuhan.Alangkah damainya perasaan waktu ini.

Subhannallah..Alhamdulillah..Allahu akbar.

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites