Abjad Hidup





Bismillahirrahmanir Rahim..buat yang datang baca dan menghadamkan ilmu setitis cuma ini, terima kasih Tok ucapkan..adapun Tok bukanlah orang besar-besar lagi masyhur untuk menulis di buana maya ini. Wujud Tok sekadar untuk berkongsi ceritera dan alkisah segala kehidupan manusia yang bernama lelaki di sepanjang perjalanan menjadi hamba Yang Esa.

Maka Tok di sini ada menyusun sepatah dua bicara diukir pada Nota Hati ini buat bekalan dan pesanan ummat masa kini, supaya cantik dan manis bahasa diambil orang buat pedoman. Adapun segala silap dan pincang bahasa, Tok mohon berjuta maaf dan redha kerana lemah dan kurang itu milik Tok yang selayaknya sebagai hamba.

Tok hanya orang biasa-biasa, golongan marhaen yang hidup berkelana, memandangkan dunia ini hanya persinggahan sementara. Ayat-ayat dan baris Al Quran yang Tok hafal 30 juzu` di dada ini, mohon dikongsi hikmahnya bersama buat cucu-cucu dan juga segala anak bangsa. Adapun bicara orang menuduh kata orang agama hanya layak mengajar kitab di pondok, alhamdulillah Tok diberi izin oleh Tuhan untuk sebaris dengan golongan intelektual yang lain. Layaknya Tok bukanlah seorang Guru,bukan juga seorang doktor mahupun engineer. Tok hanya seorang hamba yang diberi ilmu dan kudrat untuk menyusun bandar-bandar menjadi kota, dan desa-desa dibina pada makmurnya alam semesta. Duduk dan bersama dengan golongan pembesar dan Orang Kaya ternama, maka kilas bayangnya Tok buat pedoman hidup supaya salah dan sesat jangan diikut.



Abjad-abjad yang disusun menjadi bahasa ini indahnya kerana selitan agama, seperti mana wujudnya Tok di sini bukan untuk mencari nama. Jika ilmu dan ibrah hidup memberi makna pada tuan-tuan dan puan-puan segala bangsa, maka Tok mohon ilmu-ilmu yang Tok curahkan ini dikongsi bersama buat tatapan generasi ummat yang kian hilang unggulnya.

Izinkan untuk Tok bersama anak-anak dan cucu semua, untuk menyebarkan barang sedikit ilmu yang ada. Segala salah silap dan yang terasa, maka Tok mohon ampunkan segalanya. Musuh seorang pantang dijemput, kawan seribu dirai semua.

Nota Hati Seorang Lelaki- Tok Wan




0 comments:

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites